Monday, July 19, 2010

PANJAT

Jam Seiko hadiah harijadi dari anak-anak baru menunjukkan pukul 11 pagi, landrover yang akan mengangkut kami bersama beberapa pengunjung yang lain hanya akan naik Bukit Larut pukul 1 tengahari. Fikri dan mak dia lebih rela tunggu, aku rasa daripada tunggu baik panjat saja pelan-pelan, walaupun jaraknya lumayan juga kira-kira 10 km dari kaki bukit.
Dengan berbekal satu botol air mineral aku mula panjat, jam menunjukkan pukul 11.30 pagi tepat.
'Wa maanyak kuat!' aku sapa seorang warga emas keturunan cina, nampak sungguh selesa dia memanjat.
'umur belapa sekalang'
'70 taun o' bangga betui dia jawab. Dia stop kat pondok 2 kira-kira 1.5 km dari bawah, aku terus memanjat.
Ramai dah mula turun. Tapi dalam perjalanan aku memotong sekumpulan anak gadis yang nampak keletihan memanjat. Dengar depa berbisik, coba nak bagi semangat kat kawan-kawan yang letih tu kut.
'Tengok tu, atok tu kuat'
Aku tengok keliling, tak ada atok yang lain.
Makin keatas makin sunyi, ada kawasan yang redup menyeramkan, takut juga terserempak dengan babi hutan atau binatang buas. Mana nak lari, kiri tebing menanjak, kanan jurang dalam dengan pokok dan semak tebal.
Terus panjat, tak rasa letih, kaki juga ok, cuma denyutan jantung agak cepat bila jalannya menanjak. Slow down sikit untuk normalkan balik denyutan.
Dah hampir satu setengah jam memanjat, perlu tiga jam jalan kaki untuk sampai Bukit Larut kata penjaga kaunter tiket.
Terus panjat.
Tiba-tiba rasa seram, tengkok rasa meremang. Remangnya tak hilang-hilang. Kata orang kalau rasa macam tu ada makhluk halus sedang perhati kita atau lebih seram lagi dok mengekori kita. Keadaan kawasan memang sunyi, redup dan menyeramkan.
Teringat waktu balik dari lawatan kerja keSarawak dulu, ada makhluk halus yang ikut balik ke rumah. Waktu tu terasa sakit di bahagian tengkok, mungkin makhluk tu dok bertenggek kat situ. Kemudian sakit tu berpindah kat isteri aku pula lepas dia tolong urutkan, barangkali dia lompat bertenggek kat tengkok orang pompuan pula. Alhamdulillah lepas jumpa Dr Zainal, makhluk tu balik semula ke Sarawak.
Tengok jam dah pukul satu, landrover dah bertolak naik ni. Aku menunggu ditempat yang agak landai supaya landrover mudah berenti.
'Apa berat sangat ni!' komplain pemandu landrover selepas aku naik.
Sah makhluk tu naik landrover sama-sama dengan aku.
Sampai diBukit Larut, aku habiskan air mineral dan buang bekas kosong dalam tong sampah sambil berbisik kat makhluk tu,
'Hang ikut botoi ni, jangan ikut aku balik'
Malam tu aku tiduq nyenyak, alhamdulillah. Harap makhluk tu dah dapat balik ke rumah dia.

Sunday 18 Julai @ 2 pm kami checked out dari Kamalodge dan balik.




sekali-kali seronok juga keluar jalan-jalan,
apalagi kalau ada yang sponsor.
Sapa nak sponsor ayah jalan-jalan ni?

Thursday, July 15, 2010

STRESS

Dalam rancangan Tanyalah Ustaz ditv 9 pagi ini dengan tajuk menangani stress seorang peserta wanita distudio bertanya:
' Ustaz, mengapa kaum wanita lebih ramai mengalami stress daripada kaum lelaki?'
Dalam kontek perhubungan suami isteri cukup relevan kalau soalan ini ditukar kepada:
'Mengapa para isteri lebih ramai mengalami stress daripada para suami?'
Betul ka persepsi ini?
Jawapan Ustaz: 'Stress tidak memilih jantina. Dalam keadaan stress macamanapun lelaki atau suami berkemampuan menahan emosinya, stressnya tidak ketara, sedangkan wanita atau isteri tidak mampu menahan emosi, mereka meluah dan mempamirkan perasaannya dengan kata-kata dan airmata. Fitrah ini memberi kelebihan pada lelaki supaya tindakan yang dibuat tidak didasarkan pada emosi semata-mata'
Tuhan maha pencipta, dibezakan sifat antara lelaki dan wanita. Bayangkan suami yang terburai emosinya ketika berdepan dengan masalah rumahtangga, apa yang terjadi pada isteri, penampar dan sepak terajang.
'Suami yang penyabar, mampu menahan perasaan dianggap lemah pula oleh isteri' cerita salah seorang kawan saya mengenai rumahtangganya ketika berbual-bual menunggu isya di masjid.
'Kalau macam tu sekali-kali nak kena bagi penampar baru balance!'
'Jangan, jangan. Itu emosi'

Lelaki memang menyimpan perasaan , sukar nak diluahkan.
Wanita sebaliknya.

Apa nak buat ketika wanita meluahkan perasaan tak puas hatinya.
Bagi lelaki obatnya sabaq' lah banyak-banyak. Buat perubahan apa yang termampu.
Bagi pompuan luahlah perasaan tu kalau itu boleh menenangkan, telinga ni akan sabaq' dan tidak akan letih untuk mendengar.



Tu lah sebab kebanyakan oghang lelaki mati dulu dari oghang pompuan.
Simpan perasaan.
Jodoh Allah yang tentukan, apa yang Allah berikan itu lah yang terbaik.
Alhamdulillah.

Wednesday, July 7, 2010

IKATAN KELUARGA

Lega rasanya kerana anak-anak semuanya telah berjaya, lulus dari menara gading dan kini telah bekerja. Fuad ketika ini masih memerlukan bantuan kewangan dari masa kemasa kerana katanya elaun yang diperolehi dari ' chambering' masih tidak cukup untuk menampung perbelanjaan. Syima, Fadhli tinggal di KL sudah tentu memerlukan banyak belanja tapi alhamdulillah mereka anak yang baik dan mengerti tentang tanggungjawab terhadap ibubapa. Fikri pula sentiasa sabar melayani kerenah mak dan ayah dia, nak buat macam mana nasib dialah sebab tinggal bersama depa.
Ikatan keluarga kini agak kukuh, tak tau dimasa depan macam mana. Keikhlasan, kejujuran, keprihatinan adalah sifat-sifat yang amat penting bagi mengukuh ikatan kekeluargaan. Kewangan? Ya cukup penting, kerana wang jika digunakan dengan ikhlas bagi membantu adik, abang atau kakak yang memerlukan dapat memperkuat ikatan keluarga juga. Tapi bantuan pun ada hadnya juga takkan bantuan dapat dihulurkan sepanjang masa tentunya membebankan walaupun yang menerima bantuan itu adik, kakak atau abang kita.
Apa penyelesaiannya?
Dana keluarga mungkin boleh meringankan beban ini. Tiap ahli menyumbang secara bulanan kedalam dana ini dan dana ini dilaburkan untuk kepentingan masa depan. Ibubapa boleh menyumbang modal permulaan dan anak-anak menyumbang secara bulanan. Dana ini boleh dipinjam untuk tujuan pendidikan, beli aset, modal perniaagaan dll. Pinjaman hanya mula beroperasi setelah lima tahun dana terkumpul.
Macammana? Setuju?